Wednesday, December 29, 2004

 

DIRGAHAYU BUAT AYAH

DIRGAHAYU BUAT AYAH

Ayah Mahkota kasihmu
kutatap dan kudakap
Puing-puing rindu menyepuh istana hati
alangkah sepinya Pulau Pandan
betapa jauhnya Laut Oman
hari ini kukalung doa
berbahagialah ayah.

Ayah
Jasamu terpahat di mana-mana
nasihatmu tersimpan kukuh di hati
Semangatmu mengental di sanubari
dengan keringat dan air matamu
akar budaya diri ini kukuh
seperti tertegaknya keraton jawa.

Ayah
Istana bahagia ini ayah bina
bersama warna warni kehidupan
bersama rentetan kesengsaraan
semangat dan pengorbanan ini
menjadi nafas kedaulatan keluarga

dan hari ini
teratai berkembang mekar
disinari mentari pagi
dirgahayu buatmu, ayah.

abdullatip
Jelebu N.S
15.06.03

 

PESAN BUAT SUAMI

PESAN BUAT SUAMI

Wahai suami bergelar ayah
lindungi zuriatmu dengan kasih sayang
marah berpada dengan kenakalannya
jangan hamburkan kata-kata nista
Kerana kata-katamu adalah doa
yang tiada hijabnya.

Wahai suami penyambung zuriat
berilah perhatian kepada kaum kerabat
eratkan silaturrahim
bantu yang memerlukan
ziarah yang mendapat kemalangan.

Wahai suami pemegang amanah
hormatilah isterimu
Jangan pandang seperti lalat
berilah perhatian, sentuhan dan kasih sayang
Jika ada salah silapnya
Jangan sakiti hatinya
Fikir cara terbaik membentuknya.

Wahai suami pelindung kasih
cintailah isterimu sepenuh hati
dialah ibu kepada anak-anak
Penjaga harta dan rumah tangga
teman paling akrab
tempat berkongsi suka duka.

Wahai suami tonggak keluarga
Bersoleklah untuk isteri
Sucikan diri dan hati
merdukan suara
dengan madah dan seloka
Ulangi yang isterimu suka
jangan remehkan keinginannya

Jangan butakan hatimu
pada kecantikannya
pada pengorbanannya
setialah pada kalimat
"Kau adalah isteriku".

Abdullatip
15.06.03

 

TASBIH

TASBIH

Ketika bertemu seorang sahabat
baru pulang dari tanah suci
aku dihadiah sekalung tasbih
harganya tak seberapa
tapi nilainya amat tinggi.

Setiap pagi, petang dan malam
Kuhitung biji-biji tasbih
Ia bukan sekadar hitungan biasa
ada kesedaran dan keinsafan
Pasrah dan keyakinan
Pada-Mu, Tuhan.

kupetik biji-biji tasbih
kuseru nama-MU
ruang hatiku terbuka luas
Dikau sentiasa dalam mindaku
memerhati penuh kasih sayang

setiap malam
Kudengar biji-biji tasbih berbisik
kamilah penghubung
antara kasih dengan benci
antara engkau dengan Yang Esa
antara Syurga dengan Neraka.

Abdullatip
1hb July 2003.

 

JEJAK INDAH OMAR

JEJAK INDAH OMAR

Betapa indah jejak Omar
Ketika di puncak kuasa
hidup masih sederhana
bertambah cuma imam dan takwa.

Omar sanggup berkelana
menyusur lorong ke lorong
mengintip kesusahan rakyat
Jika ada balu yang kelaparan
atau si miskin yang tertindas
atau orang tua sakit tanpa waris.

Omar tak pernah tidur lena
rakyat diberi perhatian sama rata
pangkat dianggap tanggung jawab
bukan kemegahan atau keistimewaan
kerap dia berdoa
"Ya Allah, janganlah ada hambaMU
sengsara dibawah pemerintahanku."

Suatu ketika berlaku musim gawat

Omar turut menderita bersama rakyat
berkeronconglah engkau wahai perut
engaku tidak akan kenyang
Selagi rakyatku kelaparan.

Berlaku pula musim mewah
negara kaya dan rakyat megah
Omar masih menyusur lorong ke lorong
mengintip jika pegawainya salahlaku
atau hidup mewah melebihi kemampuan.

Omar selalu berkata
Kulihat Rasulullah hidup sederhana
Makanannya buah kurma dan roti kering
Tidur berbantal pelepah Tamar
beralas selimut nipis
jubah sering berubah warna
aku tak sanggup melebihi baginda.

Abdullatip0
8.07.2003.

 

SELAMAT HARI JADI, ISTERIKU

SELAMAT HARI JADI, ISTERIKU

Selamat hari jadi, isteriku
kuucap terima kasih
Kerana engkau setia di sampingku
tidak pernah berkata jemu
engkau berkhidmat penuh kerelaan
tanpa menuntut bayaran.

Selamat hari jadi, Isteriku
Kuucap terima kasih
Kerana engkau rela aku jadi suamimu
tidak pernah menyesal
sanggup melahir zuriatku
dan berjaya mengasuh mereka.

Selamat hari jadi, Isteriku
Kuucap terima kasih
Kerana sanggup berkongsi suka duka
dan membuat aku merasa bahagia
takdir menemukan kita
engkau satu dalam sejuta
aku berteduh di bawah pohon kasihmu.

Selamat hari Jadi, Isteriku
Kuucap terima kasih
Kerana engkau rela
menjadi tua bersamaku.

Abdullatip
3.8.2003


Tuesday, December 28, 2004

 

IZINKAN AKU MENCINTAIMU SEMAMPUKU

IZINKAN AKU MENCINTAIMU SEMAMPUKU

Tuhanku
aku mula belajar mencintaiMu sejak kecilku
melalui asuhan ayah dan ibu
melalui madah Tuan Guru
lembaran wahyuMU kupelajari
sabda nabiMU kuhayati
masih terpahat dalam ingatan.

Tuhanku
aku tidak mampu mencintaiMU seperi Saidina Abu Bakar
Sanggup menyerahkan seluruh hartanya
atau seperti Saidina Omar
Yang menyerahkan separuh hartanya
demi mencari keredhaanMU
izinkan aku mencintai
Mumelalui amalku yang singkat
dan sedekahku yang sedikit.

Tuhanku
aku tidak mampu mencintaiMU
melalui solat yang kusyuk
Seperti Saidina Ali
Tidak Berasa sakit
walau panah menembusi kaki
zinkan aku mencintaiMU
melalui solatyang kulakukan dalam waktu yang terbatas

Tuhanku
Izinkan aku mencintaiMU
dengan mencintai isteri dan anak-anakku
saudara-saudaraku
sahabat-sahabatku
dan orang-orang alim di kalangan kami.

Tuhanku
Izinkan aku mencintaiMU semampuku
betapa kerdilnya diri inI
di sisi kebesaranMU.

Abdullatip
Jelebu
8.9.2003.

 

RAMA-RAMA KUNING

RAMA-RAMA KUNING

Rama-rama kuning
aku ingin sepertimu
terbang bebas dengan sayap kebanggaan
melayah kemana saja yang kau mahu
walau dalam waktu yang terbatas.

Rama-rama kuning
kau begitu cantik
Sayapmu lebar
kharismamu terpancar
dan kau tak mudah terpesona
oleh kerlipan mata.

Rama-rama kuning
kau tetap yang pertama
dan yang terakhir
meski pun banyak rama-rama
Yang terbang mengitari aku
Kerana kau begitu setia
tidak seperti yang lainnya.

Abdullatip
Jelebu
23.09.2003

 

AKU DAN CINTA

AKU DAN CINTA

Tuhanku
aku ingin tersenyum
dalam mahligai syahdu
meski pun dalam angan-angan
semoga bahagia membalut jiwa ini
Yang hanya milik-Mu

Tuhanku
cinta itu tertanam di hati
halus bagai benang sutera
lembut bagai sentuhan sayap kupu-kupu
jangan biarkan aku menangis sendirian
Temani aku dengan ribuan mawar merah
aku ingin menari dan menyanyi
bersama tiupan angin syurga.

Tuhanku
Kutitipkan segumpal rindu ini di puncak salju
semoga matahariMU terus bersinar
dalam irama yang lembut
aku sujud di hadapan-Mu
Semoga bahagia ini miliku
Yang abadi.

abdullatip
Jelebu
23.9.2003

 

BERBANGGAKAH KITA

BERBANGGAKAH KITA

Berbanggakah kita melihat merekaterkinja-kinja
di pentas sandiwara
badan penuh tatoo
wajah spesis berhantu
fikiran anak-anak muda dirasuk
dan esoknyabersepah barang-barang ganjil sudah diguna
di kutip pekerja Bandar Raya.

Berbanggakah kita
Tiada kemenangan bakal dijulang
Cuma serpihan dukamereka menjadi tetamu
di bulan Saaban yang mulia
Ketika ketua-ketua Negara Islam OIC
Sedang menangisi nasib Umat.

Aku berpesan kepada putera-puteriku
sayangilah maruah dirimu
jauhi pesta itu
lihatlah wajahmu di cermin
inilah milik kita
warisan moyang tercinta.

Abdullatip
Jelebu
5.9.2003

 

NOSTALGIA RAMADAN

NOSTALGIA RAMADAN DI MASJIDIL HARAM

Ramadan tiba ketika himpunan ummah
sedang beriktiqaf di Masjidil Haram
hati damai bagai danau yang tenang
sejuk air zam-zam membasuh luka
setiap saat bermunajat
bersama deraian air mata ketakwaan.

Menatap wajahmu Masjidil Haram
dalam bahang mentari memijar
terlihat anak-anak kecil
di Afghanistan di Iraq, di Palestin dan diseluruh dunia
menangis kelaparan sambil merayu;
" Bebaskan kami dari penderitaan."

Ramadan demi Ramadan berlalu
Pemimpin datang dan pergi
Negara islam bertambah kaya
Anak-anak pelarian masih menangis
Tiada siapa peduli
pemimpin masih alpa
Al Quran tidak lagi dibaca
sabda junjungan tidak diamalkan.

Himpunan ummah tawaf keliling Kaabah
umpama buih mudah dirobohkan
benar madah Umar Al Khatab
" Lemahnya umat ini apabila penguasa
hanyut oleh harta, kuasa dan wanita."

Abdullatip
18.11.2003

 

MENUAI PAHALA RAMADAN

MENUAI PAHALA RAMADAN
MENGETUK PINTU SYAWAL

Ramadan tiba membawa kunci Syurga
insan menggenggam sabar dan takwa
Menuai pahala Ramadan siang dan malam
penuh keimanan tanpa jemu dan keliru
Allah menjanjikan pahala berganda
satu ibadat sunat sama ibadat fardu
satu ibadat fardu 70 kali ganda ganjaran pahala.

Bangun di malam tasbih yang sepi
Sujud di atas tikar keinsafan
Kuntum Ramadan pun berkembang
semerbak harum di taman Firdausi.

Kelopak Ramadan hampir ke penghujung
jiwa pasrah dengan kerinduan
bersedia mengetuk pintu Syawal
penuh rasa gembira dan syukur.

Indah malam Syawal dihias kerlipan lampu
bergema suara takbir dari masjid ke masjid
dari surau ke surau
dari rumah ke rumah
hingga dinihari

Hati yang pasrah pun berdoa;
" Tuhanku,
kutuai pahala Ramadan
kuketuk pintu syawal
kerana mengharap rahmatMU."

Abdullatip
Jelebu
18.11.2003

 

DI BUMI BERTUAH INI

PUISI
BUMI BERTUAH INI


Bumi bertuah ini
tanah air kita
di sini kita dilahirkan
di sini kita dibesarkan
di sini taat setia dicurahkan.

Bumi bertuah ini
warisan nenek moyang kita
Tanah sekepal dijadikan gunung
air setitik dijadikan tasik
rakyat dididik hidup muafakat
bijak dijadikan ketua
gagah dijadikan panglima
alim dijadikan imam
ada raja berdaulatberpayung dibawah
duli TuankuYang DiPertuan Agong.

Bumi bertuah ini pernah terjajah dan dijajah
penakluk datang mengadu domba
rakyat pecah bersengketa
pemimpin hilang kuasa
akhirnya mereka menjajah kita.

Bumi bertuah ini
Pernah mengalir darah dan air mata
rakyat bangun merebut kuasa
Tok Janggut mengamuk di Kelantan
Tok Bahaman dan Mat Kilau berkubu di Pahang
Dol Said berperang di Naning
Leftenan Adnan berputih tulang di bukit belacan
Dato’ On Jaafar meniup semangat
Tuanku Abdul Rahman menjulang kemerdekaan.

Bumi bertuah ini Sudah merdeka
rakyat tidak lagi menghunus senjata
penjajah tidak lagi bermaharajalela
Kita berganding bahu
berjuangMembasmi kemiskinan.

Bumi bertuah ini
Rakyat hidup muafakat
hutan diteroka menjadi ladang
desa dibangunkan
bandar di modenkan
rakyat mengecap nikmat pembangunan

Bumi bertuah ini
Pemimpin datang dan pergi
Tuanku Abdul Rahman bapa kemerdekaan
Tun Abdul Razak bapa pembangunan
Tun Husein On bapa perpaduan
Tun Dr Mahathir bapa wawasan
Kini Dato’ Seri Abdullah Badawi di tampuk kuasadan
Kita anak-anak wawasan
Ingat Pesan nenek moyang
di mana bumi dipijakdi situ jejak bertapak
di mana langit bernaung di situ taat dijunjung
di mana darah tertumpah
di situ kasih dicurah
di mana rezeki didapatdi situ setia terpahat.

Bumi bertuah ini
Tanah air kita
Mari kita bangunkan
Mari kita pertahankan

Merdeka... Merdeka... Merdeka....

Abdul Latip TalibJelebuOg0s 2004.


 

BILA DIA BERSUARA

BILA DIA BERSUARA

Bila dia bersuara aku jadi terpegun
Suaranya begitu lantang
agak menyakitkan namun ada pengajaran dan sindiran.

Kukira dia watak yang baik
ingin bersuara di sini cuma terlalu berterus terang
lalu aku pun bertanya
"Kenapa kau bersuara
apakah kerana marah atau ingin diperkatakan."

"Saya bersuara kerana hiba
sedih lihat ego mereka
saya ingin kita bijaksana," jawabnya.

Aku pun terus tumpu perhatian
Kuakui dia memang bijak bersuara
cuma tingkahnya agak kurang sopan
kerana boleh menyakitkan
kemudian dia pun diam
mungkin sedang mengukur daya.

Kukira dia seorang tukang yang tekun
Cekap membidik buah-buah lontaran
ingin menyurat yang terbaik
lalu aku pun berkata
" Kau teruslah bersuara!"

abdullatipJelebu21.2.2004

 

BARANGKALI FITNAH

BARANGKALI FITNAH

Fitnah lebih kejam dari membunuhSurah al Baqarah ayat 191

Barangkali manusia dijadikan pelik
Suka menabur fitnah
barangkali mereka rasa seronok
dapat melampias dendam kesumat
Barangkali semua dah tahu
Fitnah memutus tali sahabat
hilang keyakinan musnah kasih sayang

Barangkali elok di riwayatkan
Kerana fitnah Nabi Yusof dipenjara
Kerana fitnah Tuah dan Jebat sengketa
Kerana fitnah budak pintar di bunuh raja
Kerana fitnah Sang Rajuna Tapa derhaka
Kerana fitnah Mahsuri di sula
Kerana fitnah idola di penjara

Barangkali fitnah ada di mata kita
Barangkali fitnah ada di rumah kita
Barangkali selepas ini
entah giliran siapa jadi mangsa.

AbdullatipJelebu 6.2.2004

Tuesday, July 20, 2004

 

Bila Dia Bersuara





 

 


BILA DIA BERSUARA


Bila dia bersuara
aku jadi terpegun
Suaranya begitu lantang

agak menyakitkan
namun
ada pengajaran dan sindiran.


Kukira dia watak yang baik
ingin bersuara di sini
cuma terlalu berterus terang
lalu aku pun bertanya

"Kenapa kau bersuara

apakah kerana marah

atau ingin diperkatakan."


"Saya bersuara kerana hiba
sedih
lihat ego mereka
saya ingin kita bijaksana," jawabnya.


Aku pun terus tumpu perhatian
Kuakui dia memang bijak bersuara
cuma tingkahnya agak kurang sopan
kerana boleh menyakitkan
kemudian dia pun diam

mungkin sedang mengukur daya.


Kukira dia seorang tukang yang tekun
Cekap membidik buah-buah lontaran
ingin menyurat yang terbaik
lalu aku pun berkata
" Kau teruslah bersuara!"


abdullatip
Jelebu
21.2.2004


 

Kucurahkan Rindu


KUCURAHKAN RINDU


Oleh: Abdullatip


Bertahun lamanya kupendam impian
Kini aku datang menyahut seruan-Mu
Pasrah diri di sisi Kaabah yang suci
Bersama deraian air mata ketakwaan


Di sini kucurahkan rindu
Sambil tawaf, mengelilingi rumah-Mu
Lautan manusia menjadi saudara
Mengerjakan Sa’i dan mengucup Hajaratul Aswad
Airm ata pun bercucuran
Betapa kerdilnya diri ini
Di tepi kebesaran-Mu


Rindu ini kucurahkan di sini
Sambil membalut luka
Kuteguk air Zam-Zam bersama sejarahnya
Lalu berdoa di bawah pancuran emas
Dan sembahyang sunat di makam Ibrahim


Di padang Arafah yang penuh rahsia
Kutemui arti persaudaraan kasih sayang dan ujian
Bermalam di Mina membawa impianku membara
melontar jumrah kutemui sebuah duka
satu kenikmatan dalam kepayahan


Di Madinatul Munawwarah
Sekali lagi kucurahkan rindu ini
Perasaan berkocak di sisi pusara nabi-Mu
kupanjatkan doa di Rawdhah
Dan menziarahi perkuburan Baqik


Di saat berpisah terasa berat kaki melangkah
Air mata pun bercucuran
Berserah pada-Mu Tuhan.


abdullatip
1423 hijrah


Wednesday, July 14, 2004

 

PESAN BUAT YB




 

 


PESAN BUAT YB


Menjelang pilihanraya
YB diusung ke sana sini
untuk tabur janji dan tagih simpati
mungkin selepas pilihanraya
YB sibuk kita tak jumpa.


Pesan buat YB
Sesekali tengoklah kami
jangan mungkir janji
dengar rintih perih rakyat
tunai amanah penuh kejujuran.


Pesan buat YB
jangan kerap ke keluar negara
berlibur di sini saja
jimat belanja
rakyat tak buruk sangka


Pesan buat YB
belajar hidup sederhana
kurangkan amalan ke supermarket
rasalah hasil tanaman kami
bebas kimia dan asid
agar YB hidup sihat
terhindar sakit jantung dan darah tinggi.


Pesan buat YB
belajarlah berdikari
berpada dengan rumah dan kereta mewah
agar terhindar rasuah
jangan makan tanpa batasan
agar tak tersungkur kekenyangan


Pesan buat YB
Sesekali datanglah ke surau kami
kita sembahyang berjemaah
agar bertambah iman dan amalan
selalulah mengadap cermin
agar mampu menilai wajah.


Pesan buat YB
esok kami mengundi.


abdullatip
Jelebu
22.2.2004


Tuesday, July 13, 2004

 

SEGUGUS HARAPAN

SEGUGUS HARAPAN.
Oleh: Abdul Latip Talib

Wahai isteri pewaris Adat
Peliharalah keharuman budaya ini
lunakkan suara dan santunkan tingkah
berbanggalah dengan tanah kita
kerana engkau pewaris pusaka
melahir zuriat mulia
mengukuh institusi keluarga
contohilah srikandi Tun Fatimah
walau kalah tidak menyerah
dan darahnya tetap merah
atau seperti Siti Fatimah puteri Rasulullah
walaupun sibuk mengisar gandum
bibirnya basah mentilawah al Quran
dan iradatnya tenggelam dalam keridaan suami.

Wahai anak-anak cahaya kasih keluarga
engkaulah harapan mendaulatkan bangsa
Menjadi tiang seri negeri bertuah ini
Kerana tanah ini adalah milik kita
jadi kebanggaan zaman berzaman
berpayunglah di bawah kasih ayah dan ibu
bahagia keluarga bukan kerana limpahan harta
tetapi bila anak-anak bersih anggota
sihat akal berakhlak mulia
kuat rohani jasmani dan ilmu penuh di dada
sanggup berkorban untuk keluarga
dan berjihad ke jalan mulia.

Wahai suami pelindung waris
jagalah zuriat ini dengan kasih sayang
marah berpada dengan kenakalan anak
kata-katamu adalah doa yang tiada terhijab
berilah perhatian kepada kaum kerabat
bantulah yang memerlukan
eratkan silaturrahim.

Wahai jiran membawa berkat
Sucikan diri dan hati
Kita adalah teman paling akrab
tempat berkongsi suka duka
di sini kita dihias oleh adat
Yang bersendikan hukum
kita adalah harapan
membina masa depan gemilang.

Abdul Latip Talib.

Catatan: Menang hadiah sagu hati.

 

NEGERI BERADAT INI

PUISI

NEGERI BERADAT INI
Oleh: A.Latip Talib

Negeri beradat ini
tanah tumpah darahku
akar Sejarahnya bermula
dari Batu Sangkar paya Kumbuh Bukit Tinggi
asal negeri nenek moyangku.

Negeri beradat ini
adalah jejak indah Raja Melewar
tanah ini dipilih kerana tuahnya
lalu dibangun menjadi negeri
yang jauh dijemput datang
yang dekak diajak bersemenda
luak dan suku diajak muafakat
lalu tertegak keraton Istana Seri Menanti.

Negeri beradat ini
ada waris pusaka suku Biduanda
ada buapak Datuk Lembaga
ada Undang luak yang empat
berpayung dibawah duli Tuanku
Yang DiPetuan Besar Negeri Sembilan.

Negeri beradat ini
rakyat diajar hidup muafakat
yang lemah dibela
Yang kuat jadi pelindung
hati gajah sama diratah
ke bukit sama berpenat
ke lurah sama berpegang tangan
Ke baruh sama menuai padi
ke darat sama memasang jerat.

Negeri beradat ini
pernah terukir sejarah merah
Penghulu luak bersengketa
darah rakyat tumpah merata
akibat adu domba penjajah
akhirnya mereka berkuasa.

Negeri beradat ini
pernah terukir sejarah gemilang
di sini lahir anak-anak terbilang
pencetus semangat kebangsaan
Pejuang bahasa dan budaya
menjadi tonggak negeri tercinta.

Negeri beradat ini
Kamilah anak-anak gemilang
penyambung warisan bangsa
penyubur hidup beragama
disini kasih dicurah.


Catatan: Puisi ini menang tempat pertama Sayembara Puisi Negeri Sembilan yang dianjurkan oleh Persatuan Penulis Negeri Sembilan (PEN) tahun 2003.

 

KOLEKSI PUISI SAYA

Assalamualaikum wbt...

This page is powered by Blogger. Isn't yours?