PESAN BUAT YB
Menjelang pilihanraya YB diusung ke sana sini untuk tabur janji dan tagih simpati mungkin selepas pilihanraya YB sibuk kita tak jumpa.
Pesan buat YB Sesekali tengoklah kami jangan mungkir janji dengar rintih perih rakyat tunai amanah penuh kejujuran.
Pesan buat YB jangan kerap ke keluar negara berlibur di sini saja jimat belanja rakyat tak buruk sangka
Pesan buat YB belajar hidup sederhana kurangkan amalan ke supermarket rasalah hasil tanaman kami bebas kimia dan asid agar YB hidup sihat terhindar sakit jantung dan darah tinggi.
Pesan buat YB belajarlah berdikari berpada dengan rumah dan kereta mewah agar terhindar rasuah jangan makan tanpa batasan agar tak tersungkur kekenyangan
Pesan buat YB Sesekali datanglah ke surau kami kita sembahyang berjemaah agar bertambah iman dan amalan selalulah mengadap cermin agar mampu menilai wajah.
Pesan buat YB esok kami mengundi.
abdullatip Jelebu 22.2.2004 |
# posted by Latiptalib @ 3:38 AM