Tuesday, July 13, 2004

 

SEGUGUS HARAPAN

SEGUGUS HARAPAN.
Oleh: Abdul Latip Talib

Wahai isteri pewaris Adat
Peliharalah keharuman budaya ini
lunakkan suara dan santunkan tingkah
berbanggalah dengan tanah kita
kerana engkau pewaris pusaka
melahir zuriat mulia
mengukuh institusi keluarga
contohilah srikandi Tun Fatimah
walau kalah tidak menyerah
dan darahnya tetap merah
atau seperti Siti Fatimah puteri Rasulullah
walaupun sibuk mengisar gandum
bibirnya basah mentilawah al Quran
dan iradatnya tenggelam dalam keridaan suami.

Wahai anak-anak cahaya kasih keluarga
engkaulah harapan mendaulatkan bangsa
Menjadi tiang seri negeri bertuah ini
Kerana tanah ini adalah milik kita
jadi kebanggaan zaman berzaman
berpayunglah di bawah kasih ayah dan ibu
bahagia keluarga bukan kerana limpahan harta
tetapi bila anak-anak bersih anggota
sihat akal berakhlak mulia
kuat rohani jasmani dan ilmu penuh di dada
sanggup berkorban untuk keluarga
dan berjihad ke jalan mulia.

Wahai suami pelindung waris
jagalah zuriat ini dengan kasih sayang
marah berpada dengan kenakalan anak
kata-katamu adalah doa yang tiada terhijab
berilah perhatian kepada kaum kerabat
bantulah yang memerlukan
eratkan silaturrahim.

Wahai jiran membawa berkat
Sucikan diri dan hati
Kita adalah teman paling akrab
tempat berkongsi suka duka
di sini kita dihias oleh adat
Yang bersendikan hukum
kita adalah harapan
membina masa depan gemilang.

Abdul Latip Talib.

Catatan: Menang hadiah sagu hati.

Comments: Post a Comment

<< Home

This page is powered by Blogger. Isn't yours?