Tuesday, July 20, 2004

 

Bila Dia Bersuara





 

 


BILA DIA BERSUARA


Bila dia bersuara
aku jadi terpegun
Suaranya begitu lantang

agak menyakitkan
namun
ada pengajaran dan sindiran.


Kukira dia watak yang baik
ingin bersuara di sini
cuma terlalu berterus terang
lalu aku pun bertanya

"Kenapa kau bersuara

apakah kerana marah

atau ingin diperkatakan."


"Saya bersuara kerana hiba
sedih
lihat ego mereka
saya ingin kita bijaksana," jawabnya.


Aku pun terus tumpu perhatian
Kuakui dia memang bijak bersuara
cuma tingkahnya agak kurang sopan
kerana boleh menyakitkan
kemudian dia pun diam

mungkin sedang mengukur daya.


Kukira dia seorang tukang yang tekun
Cekap membidik buah-buah lontaran
ingin menyurat yang terbaik
lalu aku pun berkata
" Kau teruslah bersuara!"


abdullatip
Jelebu
21.2.2004


 

Kucurahkan Rindu


KUCURAHKAN RINDU


Oleh: Abdullatip


Bertahun lamanya kupendam impian
Kini aku datang menyahut seruan-Mu
Pasrah diri di sisi Kaabah yang suci
Bersama deraian air mata ketakwaan


Di sini kucurahkan rindu
Sambil tawaf, mengelilingi rumah-Mu
Lautan manusia menjadi saudara
Mengerjakan Sa’i dan mengucup Hajaratul Aswad
Airm ata pun bercucuran
Betapa kerdilnya diri ini
Di tepi kebesaran-Mu


Rindu ini kucurahkan di sini
Sambil membalut luka
Kuteguk air Zam-Zam bersama sejarahnya
Lalu berdoa di bawah pancuran emas
Dan sembahyang sunat di makam Ibrahim


Di padang Arafah yang penuh rahsia
Kutemui arti persaudaraan kasih sayang dan ujian
Bermalam di Mina membawa impianku membara
melontar jumrah kutemui sebuah duka
satu kenikmatan dalam kepayahan


Di Madinatul Munawwarah
Sekali lagi kucurahkan rindu ini
Perasaan berkocak di sisi pusara nabi-Mu
kupanjatkan doa di Rawdhah
Dan menziarahi perkuburan Baqik


Di saat berpisah terasa berat kaki melangkah
Air mata pun bercucuran
Berserah pada-Mu Tuhan.


abdullatip
1423 hijrah


Wednesday, July 14, 2004

 

PESAN BUAT YB




 

 


PESAN BUAT YB


Menjelang pilihanraya
YB diusung ke sana sini
untuk tabur janji dan tagih simpati
mungkin selepas pilihanraya
YB sibuk kita tak jumpa.


Pesan buat YB
Sesekali tengoklah kami
jangan mungkir janji
dengar rintih perih rakyat
tunai amanah penuh kejujuran.


Pesan buat YB
jangan kerap ke keluar negara
berlibur di sini saja
jimat belanja
rakyat tak buruk sangka


Pesan buat YB
belajar hidup sederhana
kurangkan amalan ke supermarket
rasalah hasil tanaman kami
bebas kimia dan asid
agar YB hidup sihat
terhindar sakit jantung dan darah tinggi.


Pesan buat YB
belajarlah berdikari
berpada dengan rumah dan kereta mewah
agar terhindar rasuah
jangan makan tanpa batasan
agar tak tersungkur kekenyangan


Pesan buat YB
Sesekali datanglah ke surau kami
kita sembahyang berjemaah
agar bertambah iman dan amalan
selalulah mengadap cermin
agar mampu menilai wajah.


Pesan buat YB
esok kami mengundi.


abdullatip
Jelebu
22.2.2004


Tuesday, July 13, 2004

 

SEGUGUS HARAPAN

SEGUGUS HARAPAN.
Oleh: Abdul Latip Talib

Wahai isteri pewaris Adat
Peliharalah keharuman budaya ini
lunakkan suara dan santunkan tingkah
berbanggalah dengan tanah kita
kerana engkau pewaris pusaka
melahir zuriat mulia
mengukuh institusi keluarga
contohilah srikandi Tun Fatimah
walau kalah tidak menyerah
dan darahnya tetap merah
atau seperti Siti Fatimah puteri Rasulullah
walaupun sibuk mengisar gandum
bibirnya basah mentilawah al Quran
dan iradatnya tenggelam dalam keridaan suami.

Wahai anak-anak cahaya kasih keluarga
engkaulah harapan mendaulatkan bangsa
Menjadi tiang seri negeri bertuah ini
Kerana tanah ini adalah milik kita
jadi kebanggaan zaman berzaman
berpayunglah di bawah kasih ayah dan ibu
bahagia keluarga bukan kerana limpahan harta
tetapi bila anak-anak bersih anggota
sihat akal berakhlak mulia
kuat rohani jasmani dan ilmu penuh di dada
sanggup berkorban untuk keluarga
dan berjihad ke jalan mulia.

Wahai suami pelindung waris
jagalah zuriat ini dengan kasih sayang
marah berpada dengan kenakalan anak
kata-katamu adalah doa yang tiada terhijab
berilah perhatian kepada kaum kerabat
bantulah yang memerlukan
eratkan silaturrahim.

Wahai jiran membawa berkat
Sucikan diri dan hati
Kita adalah teman paling akrab
tempat berkongsi suka duka
di sini kita dihias oleh adat
Yang bersendikan hukum
kita adalah harapan
membina masa depan gemilang.

Abdul Latip Talib.

Catatan: Menang hadiah sagu hati.

 

NEGERI BERADAT INI

PUISI

NEGERI BERADAT INI
Oleh: A.Latip Talib

Negeri beradat ini
tanah tumpah darahku
akar Sejarahnya bermula
dari Batu Sangkar paya Kumbuh Bukit Tinggi
asal negeri nenek moyangku.

Negeri beradat ini
adalah jejak indah Raja Melewar
tanah ini dipilih kerana tuahnya
lalu dibangun menjadi negeri
yang jauh dijemput datang
yang dekak diajak bersemenda
luak dan suku diajak muafakat
lalu tertegak keraton Istana Seri Menanti.

Negeri beradat ini
ada waris pusaka suku Biduanda
ada buapak Datuk Lembaga
ada Undang luak yang empat
berpayung dibawah duli Tuanku
Yang DiPetuan Besar Negeri Sembilan.

Negeri beradat ini
rakyat diajar hidup muafakat
yang lemah dibela
Yang kuat jadi pelindung
hati gajah sama diratah
ke bukit sama berpenat
ke lurah sama berpegang tangan
Ke baruh sama menuai padi
ke darat sama memasang jerat.

Negeri beradat ini
pernah terukir sejarah merah
Penghulu luak bersengketa
darah rakyat tumpah merata
akibat adu domba penjajah
akhirnya mereka berkuasa.

Negeri beradat ini
pernah terukir sejarah gemilang
di sini lahir anak-anak terbilang
pencetus semangat kebangsaan
Pejuang bahasa dan budaya
menjadi tonggak negeri tercinta.

Negeri beradat ini
Kamilah anak-anak gemilang
penyambung warisan bangsa
penyubur hidup beragama
disini kasih dicurah.


Catatan: Puisi ini menang tempat pertama Sayembara Puisi Negeri Sembilan yang dianjurkan oleh Persatuan Penulis Negeri Sembilan (PEN) tahun 2003.

 

KOLEKSI PUISI SAYA

Assalamualaikum wbt...

This page is powered by Blogger. Isn't yours?